WILAYAH - UTARA > BERITA

GOBIND AKAN TERUS MEWAKILI DAP DALAM KABINET, MAINKAN PERANAN PENTING DALAM KEPIMPINAN NEGARA - LOKE

11/11/2024 05:13 PM

SEBERANG PERAI, 11 Nov (Bernama) -- Meskipun gagal memperoleh jawatan dalam pemilihan parti DAP Selangor 2024-2027 semalam, Gobind Singh Deo akan terus mewakili DAP dalam Kabinet, kata Setiausaha Agung parti Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan itu menegaskan bahawa Gobind, yang juga Menteri Digital, akan terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan DAP sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.

"Kekalahan di Selangor semalam, tidak bermakna beliau perlu menarik diri, sama sekali tidak. Saya ingin menegaskan bahawa beliau akan terus mewakili parti dalam Kabinet.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Gobind atas sumbangannya kepada DAP Selangor selama ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Railway Assets Corp (RAC) dan Lembaga Perumahan Pulau Pinang serta majlis menandatangani perjanjian utama antara RAC dan Rivanis Ventures untuk pembangunan semula tanah Kampung Manis di sini, hari ini.

Sambil menggambarkan kekalahan Gobind dalam pemilihan parti negeri sebagai satu kekalahan yang mengejutkan, Loke turut mengakui bahawa perkara itu adalah sesuatu yang normal dalam proses demokrasi, dan Ahli Parlimen Damansara tersebut juga menerima keputusan perwakilan dengan hati yang terbuka.

Dalam pemilihan DAP Selangor semalam, Gobind yang merupakan penyandang jawatan Pengerusi DAP Selangor tidak terpilih untuk jawatankuasa 2024-2027 selepas memperoleh tempat ke-16 dengan 675 undi, manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan