WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ADUAN KES BULI DITANGANI MENGIKUT SOP, GARIS PANDUAN DITETAPKAN - FADHLINA

14/11/2024 06:29 PM

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menangani setiap aduan melibatkan kes buli di sekolah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kementerian itu.

Menterinya Fadhlina Sidek yakin melalui pendekatan itu, kes buli akan dapat ditangani dengan lebih berkesan khususnya apabila turut melibatkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.

Beliau berkata KPM juga memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan proses SOP sedia ada menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih lanjut.

"Aduan buli ini kita tangani mengikut SOP dan kebanyakan selesai dalam tempoh yang ditetapkan, ini yang kita mahu iaitu aduan tersebut sampai kepada pihak kita.

"Jadi kita boleh sertakan data, ambil tindakan intervensi serta merta dan memastikan keadilan dapat diberikan pada semua pihak. Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas dalam soal buli ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Gerakan Kepimpinan MADANI: Hentikan Buli di Sekolah Menengah Lok Yuk di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif. 

Fadhlina berkata KPM sentiasa turun padang ke sekolah terpilih untuk melaksanakan advokasi berkaitan hentikan buli yang turut memerlukan komitmen daripada semua pihak.

Beliau berkata melalui pendekatan itu perbincangan dengan ketua pelajar dan pengawas dapat dijalankan bagi memahami isu yang terdapat di sekolah berkenaan.

"Penegasan telah KPM beri berulang kali dan saya bagi penegasan sekali lagi bahawa tidak ada dan tidak boleh menyembunyikan kes berkaitan dengan buli ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan