WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKS PEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI APEC, PUPUK KETERANGKUMAN - TENGKU ZAFRUL

14/11/2024 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi di rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), terutama dalam usaha memupuk pembangunan inklusif atau terangkum.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pertumbuhan inklusif juga bukan setakat yang memberi manfaat kepada syarikat besar dan multinasional, sebaliknya perlu bercirikan saksama.

“(Inilah sebabnya) kita perlu melibatkan PKS dan belia serta penyertaan perusahaan dimiliki golongan wanita,” katanya dalam temu bual dengan Heat, program bual bicara China Global Television Network (CGTN) America.

Wawancara itu telah dimuat naik di saluran YouTube CGTN America di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata pada sidang kemuncak APEC tahun ini, aspek pertumbuhan inklusif akan menjadi antara topik perbincangan bagi memastikan semua segmen perniagaan dapat mendapat akses pasaran, termasuk menerusi plaform digital dan hijau.

Menurutnya, bagi Malaysia, ini penting memandangkan 79 peratus daripada perdagangan Malaysia juga melibatkan anggota APEC pada tahun lepas.

Pada masa sama, 70 peratus daripada penduduk Malaysia bekerja dengan PKS, termasuk perusahaan milik wanita dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, negara ini berhasrat memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital yang menyaksikan e-dagang sebagai platform dengan garis panduan, dasar dan undang-undang yang dipertingkatkan.

Usaha itu, katanya, akan membolehkan penyertaan syarikat kecil dalam aspek seperti pembayaran serta cabang lain.

“Keadaan sama bagi eknomi APEC. Kita perlu memastikan kawasan bandar dan pedalaman dapat disepadukan dari segi mendapat akses pasaran.

“Oleh itu, bagi saya, adalah penting aspek (pertumbuhan inklusif) ini dibincangkan kerana kita sering membicarakan pertumbuhan antara negara besar berbanding negara kecil, negara lebih maju berbanding sebaliknya,” katanya.

Namun, Tengku Zafrul menegaskan pada masa sama, APEC juga perlu meneliti pertumbuhan negara, dalam lingkungan wilayah, antara syarikat besar dan kecil serta perusahaan lain seperti berteraskan sosial dan perusahaan dimiliki wanita.

Beliau ketika ini berada di Lima, Peru, bagi menyertai delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam lawatan rasmi ke ibu negara itu selain menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC ke-31 pada Selasa.

Negara-negara anggota APEC mewakili kira-kira tiga bilion penduduk atau hampir 30 peratus daripada penduduk dunia.

Perkumpulan negara-negara itu juga membentuk hampir 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global selain memberi memudah cara hampir 50 peratus perdagangan dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan