IPOH, 15 Nov (Bernama) -- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, di sini minggu lepas.
Lee Hao Yi, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa membunuh Lee Huey Ting, 54, antara pukul 1 pagi pada 6 Nov hingga 8.25 pagi, 10 Nov lepas, dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Siti Nora Sharif kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 18 Feb depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahad lepas media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun susulan penemuan mayat ibu saudaranya dalam keadaan membusuk di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial