WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN SELANGOR 2025: RM3.5 JUTA DIPERUNTUKKAN LAKSANA RS-2

15/11/2024 06:36 PM

SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang merekodkan pelbagai kejayaan terutama dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan disambung kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dengan peruntukan awal sebanyak RM3.5 juta. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata RS-2 akan diteruskan untuk tempoh 2026 hingga 2030 menggunakan kerangka dan kaedah pelaksanaan RS-1. 

Beliau berkata jumlah yang diperuntukkan itu adalah bagi penyediaan dokumen RS-2 melibatkan kajian, sesi libat urus, bengkel, promosi dan dokumentasi. 

"Anggaran garis masa pembangunan RS-2 adalah 15 bulan bermula Januari 2025 sehingga pembentangan dalam Sidang Dewan yang dijadualkan sekitar Febuari 2026," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Amirudin berkata pembangunan RS-2 akan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi memastikan perancangannya mencapai matlamat dan memenuhi keperluan di peringkat penggubalan dan pelaksanaan. 

Beliau berkata Selangor mencatatkan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 7.43 peratus melebihi sasaran purata pertumbuhan KDNK bagi tempoh 2021-2025 yang telah ditetapkan dalam RS-1 iaitu antara 6.5 hingga 7.0 peratus untuk tempoh 2021 hingga 2023.

"Selangor juga merekodkan kejayaan baharu dengan menyumbangkan 25.9 peratus kepada KDNK bagi 2023 mencipta sejarah dengan nilai aktiviti ekonomi berjumlah RM406.1 bilion sekali gus menjadi negeri pertama mempunyai aktiviti ekonomi melebihi paras nilai RM400 bilion," katanya.

Bertemakan 'Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia MADANI', Belanjawan Selangor 2025 memperuntukan sebanyak RM3 bilion bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri tahun hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan