SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang penuntut jurusan aeronautik daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 412.3 gram, tiga tahun lepas.
Hakim Dr Hazlina Hussain memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap R. Abishek Raj, 22, di akhir kes pendakwaan.
Beliau berkata pihak pendakwaan gagal dalam membuktikan elemen kawalan dan jagaan dadah selain terdapat percanggahan dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan.
Abishek Raj didakwa mengedar dadah berbahaya berkenaan di sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling di sini pada 10 malam, 15 Nov 2021.
Lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, perlu dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Sivahnanthan Ragava, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Mohd Idris.
Enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial