KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) dan para pemegang sahamnya (Konsortium) hari ini mengumumkan hasrat untuk mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada RM11 sesaham, mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion.
Tawaran ini dikemukakan setelah memenuhi prasyarat termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa di Turkiye, Arab Saudi, Mesir dan Malaysia seperti dimaklumkan menerusi Pengumuman Tawaran Prasyarat bertarikh 15 Mei 2024.
Dalam satu kenyataan bersama, ia berkata Konsortium dan syarikat induk mereka secara agregat memiliki 41.1 peratus daripada saham MAHB yang diterbitkan setakat 15 Nov, 2024, iaitu tarikh notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat dikeluarkan.
Konsortium ini diterajui oleh dua syarikat Malaysia, UEM Group Berhad (UEM Group) iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pemegang saham Konsortium ini juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), satu daripada pelabur infrastruktur terkemuka sedunia.
Selepas penerimaan tawaran sepenuhnya, pegangan UEM Group dalam MAHB meningkat daripada 32.99 peratus kepada 40 peratus, dan pegangan KWSP pula meningkat daripada 7.86 peratus kepada 30 peratus.
"Ini bermakna para pelabur Malaysia secara bersama akan memiliki 70 peratus pegangan dalam MAHB. Baki 30 peratus pegangan pula akan dimiliki oleh ADIA dan GIP," kata kenyataan itu.
Ia berkata Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB, dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan MAHB akan terus dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia yang dikendalikan oleh MAHB akan terus dimiliki oleh Kerajaan Malaysia, seperti termaktub di bawah perjanjian pengoperasian yang ditandatangani MAHB, dan akan terus dikawal selia oleh pelbagai agensi kerajaan termasuklah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Konsortium juga menegaskan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi susulan daripada tawaran ini.
Tawaran ini adalah tertakluk kepada penerimaan yang sahih iaitu Konsortium, termasuk dengan saham yang sudah dimilki, perlu memiliki sekurang-kurangnya 90 peratus saham MAHB yang diterbitkan pada atau sebelum tawaran ini ditutup.
"Konsortium berhasrat untuk meletakkan MAHB di landasan terbaik bagi pertumbuhan mampan jangka masa panjang, dengan menumpukan kepada penyelenggaraan dan usaha menaiktaraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambahbaik keterhubungan syarikat penerbangan yang akan meningkatkan pertumbuhan trafik.
"Ini sekaligus akan memberikan manfaat ekonomi berpanjangan kepada MAHB dan para pemegang taruhnya, serta sektor ekonomi utama di Malaysia dan Turkiye," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial