WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG MENINGGAL DUNIA

15/11/2024 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Ibrahim Saad, 78, meninggal dunia pada 6.30 petang tadi di Hospital Pakar Damansara di sini akibat komplikasi pernafasan.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak lelaki Allahyarham, Datuk Zairil Ayu Ibrahim, 49, ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata bapanya mengalami serangan jantung dan telah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.

“Selepas keluar dari hospital baru-baru ini, beliau kelihatan beransur baik namun semalam beliau mengadu sakit sukar bernafas semasa di rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum dibawa ke hospital. Beliau cuba diselamatkan tetapi tidak sempat,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Zainab Abdul Kadeer, 76, dan lima cahaya mata iaitu dua lelaki dan tiga perempuan.

Jenazah Allahyarham dijangka dimandikan dan disolatkan di Masjid At-Taqwa, TTDI pada 9 pagi esok sebelum dibawa untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 11 pagi.

Karier politik Allahyarham bermula sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selama dua penggal bermula 1986 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor pada 1995.

Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1990 hingga 1995 dan kemudian menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1995-1999) dan Timbalan Menteri Pengangkutan (1999).

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) pada 2005 hingga 2007 dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (2007-2009).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan