SIBU, 16 Nov (Bernama) -- Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an kerugian RM86,841 selepas menjadi mangsa penipuan cinta lelaki warga Korea yang dikenali menerusi aplikasi “Tinder” pada Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata dalam laporan polis pada Khamis, pekerja swasta berkenaan memaklumkan pada 19 Jun lepas suspek telah berjanji akan bertemu dengannya selepas permohonan visa suspek diluluskan.
“Pada awal Julai lepas, suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah membuat beberapa penghantaran barang kepada mangsa namun barang berkenaan ditahan pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata selepas berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai kastam pada 25 Julai, mangsa diminta untuk membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan sijil perlepasan supaya barangan berkenaan dihantar ke Malaysia.
Mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang ke lapan akaun tempatan berjumlah RM86,841 sebelum berasa ragu-ragu dan menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta untuk membuat pelbagai pembayaran. Suspek juga tidak dapat dihubungi mangsa selepas itu.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial