WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPT SERAH KEPADA POLIS SIASAT KES PELAJAR IPT DITAHAN BERSAMA GANJA

16/11/2024 04:06 PM

KANGAR, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes melibatkan empat pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) yang ditahan bersama rampasan dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar, Perak pada Khamis lepas (14 Nov). 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihak polis akan mengambil langkah mengikut undang-undang terhadap pelajar IPT berkenaan sekiranya dipercayai terlibat dalam jenayah itu.

“Sama ada pelajar atau bukan pelajar, mahasiswa atau bukan mahasiswa setiap perkara dilakukan seseorang melibatkan hal jenayah maka kita serahkan kepada pihak keselamatan (polis) ...,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Perlis di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang juga pelajar sebuah IPT dan merampas dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat dipetik sebagai berkata kesemua suspek warga tempatan itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada 1.40 tengah hari dan hasil pemeriksaan di rumah itu menemukan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.92 kilogram bernilai RM2,500.

Dadah itu dipercayai untuk kegunaan mereka sendiri dan juga pengedaran.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Setiausaha Agung BN berkata laporan lengkap berhubung kes itu perlu diperkemas untuk membolehkan langkah susulan dapat diambil pihak IPT berkenaan selain langkah undang-undang.

“Kita lihat bahawa dari semasa ke semasa kes sebegini yang perlu kita tangani tetapi apa pun yang paling mustahak ialah pihak universiti dan pihak kementerian akan mengambil langkah segera … dengan jumlah pelajar universiti dengan kedudukan mereka di universiti itu sendiri mereka terdedah segala kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata sering kali pihaknya menekankan aspek disiplin dalam kampus perlu dijaga berserta peranan pihak bahagian hal ehwal pelajar di IPT perlu dipertingkatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan