PASIR MAS, 16 Nov (Bernama) -- Malaysia tidak mengiktiraf individu yang mempunyai dua kewarganegaraan, susulan laporan polis Thailand bahawa banyak penjenayah rentas sempadan memiliki dua kad pengenalan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kad pengenalan adalah simbol kewarganegaraan, dan sebarang kes yang disyaki dua kewarganegaraan mesti disahkan melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata selain polis, JPN mempunyai kuasa untuk mengesahkan status kewarganegaraan individu terlibat jenayah di Malaysia, manakala bagi kes di Thailand, kementerian secara rasmi meminta senarai nama daripada pihak berkuasa Thailand.
"Malaysia dan Thailand telah ada jawatankuasa berkaitan sempadan negara dan mana-mana individu yang terlibat dengan jenayah kita berkongsi maklumat.
"Jawatankuasa ini boleh menyerahkan senarai nama yang dikehendaki jika individu berkenaan buat jenayah di kedua-dua negara," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata sebarang senarai yang disediakan oleh Thailand akan disemak di dalam pangkalan data JPN untuk mengesahkan status individu berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata Malaysia terbuka untuk menerima sebarang maklumat daripada Thailand mengenai individu berkait pelbagai jenayah di sempadan negara.
"Di Thailand juga, mereka mempamerkan wajah individu dikehendaki di tempat umum agar orang awam boleh melihatnya lalu memaklumkan kepada pihak berkuasa.
"Oleh yang demikian, polis Thailand dan polis Malaysia sentiasa bekerjasama jika ada individu dikehendaki di kedua-dua buah negara," katanya.
Pada Khamis lepas, polis Thailand tidak menolak kemungkinan ada individu yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand memiliki dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan.
Ketua Polis Daerah Narathiwat Kol Polis Pratya Baitee dilapor berkata ini adalah modus operandi mereka bagi melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand jika diburu pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kebanyakan penjenayah ini menpunyai maklumat berbeza pada kad pengenalan yang berlainan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial