WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANDUAN TAHANAN RUMAH AKAN DIPAKAIKAN PERANTI PENGESAN APABILA AKTA DIREALISASIKAN - SAIFUDDIN

16/11/2024 05:58 PM

PASIR MAS, 16 Nov (Bernama) -- Banduan yang menjalani tahanan rumah akan dipakaikan dengan alat peranti pengesan apabila Rang Undang-Undang (RUU) akta baharu tahanan rumah yang dicadangkan diluluskan Parlimen, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pemakaian alat itu bertujuan untuk mengesan kedudukan banduan yang sedang menjalani perintah di bawah akta terbabit.

"Undang-undang sedia ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan yang membolehkan pesalah menjalani hukuman di tahanan rumah.

"Oleh itu, RUU akta baharu ini juga mampu membantu mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara yang ketika ini sedang berlaku di penjara seluruh negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni MADANI Komisioner Jeneral Penjara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Bunga di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan rekod jumlah banduan di seluruh negara ketika ini mencecah 87,000 orang sedangkan kapasiti penjara hanya mampu menampung 74,000 orang.

"Oleh itu, kementerian saya menyasarkan 28,000 banduan menjalani tahanan reman di rumah apabila akta ini direalisasikan," katanya.

Beliau berkata RUU akta berkenaan hanya akan melibatkan pesalah yang berstatus tahanan reman dalam penjara dan tidak melibatkan pesalah yang terlibat jenayah berat seperti rogol atau dadah.

Saifuddin Nasution berkata Kabinet juga telah memberikan keputusan dasar untuk memulakan RUU akta itu dan kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan