WILAYAH - UTARA > BERITA

PERTUKARAN WAKTU OPERASI KLINIK KESIHATAN TANJUNG MALIM PERLU PANDANGAN PENDUDUK

17/11/2024 10:11 PM

TANJUNG MALIM, 17 Nov (Bernama) -- Pandangan dan maklum balas penduduk setempat sepatutnya diambil kira sebelum waktu operasi Klinik Kesihatan Tanjung Malim di sini dipendekkan daripada 24 jam sehari kepada 8 pagi hingga 5 petang.

Pesara Yee Jee Kwong, 68, berkata tindakan itu perlu bagi membolehkan pihak berwajib mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keperluan dan manfaat sekiranya waktu operasi klinik berkenaan kekal 24 jam sehari.

“Bagi saya, maklumat orang awam perlu disebabkan kami yang menggunakan perkhidmatan klinik ini tidak kira sama ada ketika atau selepas waktu bekerja.

“Jadi, pihak berwajib perlu duduk semeja dengan penduduk di sini. Kita mahu selesaikan perkara ini dengan baik dan pada masa sama, memastikan klinik ini terus memberi manfaat sepertimana sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

R. Sellam, 52, pula berkata perubahan waktu operasi itu menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta berhampiran atau pergi ke Hospital Slim River yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini.

Peniaga di Jalan Ketoyong itu berkata perkara ini sudah tentu agak membebankan lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah.

“Macam saya sendiri, baru-baru ini anak sakit perut di waktu malam. Mahu tak mahu, saya terpaksa bawa dia ke klinik swasta berhampiran. Agak terkejut jugalah kerana kos rawatan mencecah hampir RM200.

“Bila difikirkan semula, betapa bagusnya ada unit kecemasan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim. Bukan sahaja dekat malah kos rawatannya mampu ditanggung penduduk terutama orang susah,” katanya.

Bagi peniaga Ahzamin Zaidi Ahmadun, 37, pembinaan hospital baharu di kawasan itu adalah penyelesaian jangka panjang yang boleh dipertimbang oleh kerajaan.

Penduduk Kampung Simpang Empat itu berkata ini berdasarkan peningkatan populasi di kawasan berkenaan berikutan kepesatan pembangunan Tanjung Malim terutama membabitkan kawasan Proton City selain Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

“Bagi saya perlu sebenarnya bina hospital di sini, walaupun bukan mudah tetapi ia boleh difikirkan bagi jangka panjang untuk membantu menyelesaikan masalah kesihatan rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Klinik Kesihatan Tanjung Malim menghentikan operasi 24 jam bermula 1 Ogos lepas dengan alasan menyeragamkan operasi seperti di bandar lain.

Perkara itu dikatakan telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk setempat.

Pada 4 Nov lepas, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak A. Sivanesan berkata isu waktu operasi klinik itu termasuk kebimbangan penduduk akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan