WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS PEGUAM NEGARA IDRUS HARUN ANTARA AHLI SURUHANJAYA PELANTIKAN KEHAKIMAN BAHARU

18/11/2024 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun adalah antara empat individu yang dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang baharu bagi tempoh dua tahun mulai 1 Nov lepas.

Turut dilantik ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, bekas Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya Dr Hartini  Saripan.

Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik mereka sebagai ahli suruhanjaya berkenaan mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

"Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Nov 2024 hingga 31 Okt 2026," menurut kenyataan itu.

Pelantikan baharu itu adalah bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datu  Abdul Razak Tready dan Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz yang tamat lantikan pada 3 Sept 2024.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan Md Raus, Suriyadi, Abdul Razak Tready dan Shamrahayu sepanjang tempoh mereka menjadi ahli suruhanjaya tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan