WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR SEDIAKAN MODUL KHAS PULIHKAN AHLI GISBH

18/11/2024 03:45 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan ahli-ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini.

Langkah-langkah yang terkandung dalam fasa pemulihan itu termasuk penyediaan dan pembinaan modul khas bagi melaksanakan program pemulihan terhadap mereka yang terlibat.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH melibatkan dua kaedah iaitu tindakan pemulihan terhadap ahlinya secara sukarela secara serah diri atau ‘walk in’ melalui program rehabilitiasi kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MAIS.

“Program rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela kepada ahli GISBH bermula 14 Okt hingga 14 Nov 2024 itu bertujuan memberi peluang kepada ahli GISBH untuk bertaubat secara sukarela dan disantuni sebagai mangsa dan bukan sebagai pesalah. 

“Peserta akan ditempatkan di rumah pemulihan MAIS yang terpilih. Setakat 7 Nov, 11 orang peserta telah ditempatkan di rumah pemulihan MAIS dan melalui program pemulihan yang berpandukan modul istitabah MAIS dengan mereka diberi latihan kemahiran bersesuaian,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) berhubung peranan kerajaan negeri membantu mereka yang terlibat dalam GISBH untuk kembali hidup normal dalam masyarakat.

Mohammad Fahmi berkata bagi ahli GISBH yang dijatuhkan hukuman menjalani pemulihan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah, proses pemulihan itu dilaksanakan di rumah pemulihan dan perlindungan MAIS yang telah diwartakan.  

Beliau berkata berkata 138 orang ahli GISBH melibatkan 41 lelaki dan 97 wanita telah ditangkap antara 22 Sept sehingga 1 Nov lepas, dan mereka antaranya didakwa di bawah Akta 611 iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah kesalahan pemerdagangan dan pemelarian kanak-kanak, serta Akta Cukai Pendapatan 1967.

Fahmi berkata 44 kertas siasatan telah dibuka yang merujuk kepada Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas kesalahan melanggar fatwa berkenaan Al-Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (SRC) yang diwartakan pada tahun 1993, 1994 dan 2006, yang menyatakan kedua-dua kumpulan itu menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar.

Selain itu beliau berkata Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS telah menemu bual 438 kanak-kanak (mangsa) GISBH iaitu seramai 266 di Selangor, Pulau Pinang (155), Johor (14) orang dan tiga di Negeri Sembilan berumur antara 12 dan 17 tahun.

“Ia bertujuan mendapatkan gambaran dan keadaan mereka sepanjang berada di bawah kumpulan GISBH bagi membantu (kes) terhadap individu yang akan didakwa,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata 100 daripada 231 individu daripada kumpulan GISBH yang ditangkap dan mengaku berkahwin, memiliki rekod perkahwinan sah dan maklumat itu diperoleh menerusi semakan JAIS melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia dan sistem dalam talian  yang lain. 

“Susulan itu, JAIS akan mengambil tindakan berhubung pelanggaran peraturan dan undang-undang syariah sedia ada di negeri ini dan antara perkara yang boleh disiasat berhubung pernikahan dan perkahwinan ahli anggota GISBH merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor Tahun 2003,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan