WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOSTI TELITI KEMUNGKINAN BANGUNKAN LLM TERSENDIRI, SOKONG EKOSISTEM AI TEMPATAN

18/11/2024 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang meneliti kemungkinan untuk membangunkan model bahasa besar atau Large Language Model (LLM) dalam bahasa Malaysia melalui kerjasama dengan universiti dan syarikat tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata salah satu rakan utama dalam membangunkan inisiatif itu ialah Mesolitica, sebuah syarikat tempatan yang telah membangunkan LLM dalam bahasa Malaysia dikenali sebagai MaLLaM atau Malaysia Large Language Model.

“MaLLaM dihasilkan sepenuhnya dengan menggunakan pangkalan data, set data tempatan dan berkeupayaan untuk memahami bahasa dan budaya tempatan dengan lebih mendalam. MIMOS, agensi MOSTI dan Mesolitica sedang giat bekerjasama untuk meningkatkan keupayaan dan keberkesanan model ini.

“Kerjasama ini akan turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada masa hadapan bagi memperkayakan bahasa Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu sama ada kementerian akan bekerjasama dengan DBP untuk memastikan LLM unik dan sesuai untuk pembangunan bahasa rasmi negara.

Menjawab soalan asal Lee sama ada kementerian akan membangunkan LLM tersendiri serta langkah diambil untuk memastikan nilai dan budaya setempat tidak terabai, Mohammad Yusof berkata MOSTI telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama kementerian dan agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Digital dan Jabatan Perdana Menteri untuk membangunkan LLM tempatan.

Beliau berkata pembangunan LLM itu akan mematuhi Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AIGE) yang telah dilancarkan pada 20 Sept lepas.

“Garis panduan AIGE ini bertujuan sebagai satu daripada mekanisme menggalakkan penggunaan teknologi AI (kecerdasan buatan) yang bertanggungjawab dalam negara. Pematuhan kepada garis panduan ini dapat memastikan LLM dibangunkan tidak mengabaikan nilai dan budaya setempat,” katanya.

Beliau berkata pembangunan LLM akan menyokong ekosistem AI tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AI dari luar negara, selain dapat meningkatkan proses membuat keputusan, pengautomasian tugas dan memudahkan penyelidikan dalam pelbagai sektor dengan menyesuaikan pengetahuan AI global kepada bahasa dan keperluan tempatan.

Bagaimanapun, Mohammad Yusof berkata pembangunan LLM atau model AI melibatkan kos amat tinggi dan memerlukan peralatan khusus yang selalu dilaksanakan di pusat pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) berasaskan awan.

“Kos pelaburan perkakasan di peringkat awal boleh dikurangkan dengan menggunakan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan awan seperti Microsoft Azure, OpenAI dan Amazon Web Services (AWS). 

“Bagaimanapun, terdapat kebimbangan berkaitan keselamatan data kerana data akan disimpan di luar negara sekiranya menggunakan perkhidmatan awan berkenaan, yang menimbulkan risiko kebocoran data sulit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata MOSTI melalui MIMOS sedang meneroka penggunaan infrastruktur pengkomputeran dengan kos kompetitif yang mampu mengendalikan dan memperhalusi data hak milik dengan selamat.

Menurut Mohammad Yusof, kerjasama dengan Phison melalui penggunaan teknologi aiDAPTIV+ telah membuktikan pengurangan kos dan peningkatan keselamatan data.

“aiDAPTIV membolehkan pengguna melatih dan mengoptimumkan model AI menggunakan data rahsia di premis mereka sendiri dan mengurangkan risiko kebocoran data,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada terdapat penyelarasan dari segi rangka kerja AI dalam kalangan negara ASEAN, beliau berkata ASEAN telah mengeluarkan satu garis panduan tadbir urus dan etika AI pada 2 Feb lepas, berfungsi sebagai sumber praktikal bagi organisasi yang ingin melaksanakan teknologi AI dalam konteks komersial di rantau ini.

“Panduan ini bertujuan mempromosikan penjajaran dalam ASEAN dan meningkatkan kebolehoperasian rangka kerja AI merentasi negara anggota,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan