WILAYAH - SARAWAK > BERITA

15,741 PENCARUM BERDAFTAR SKSPS DI MELAKA

18/11/2024 09:04 PM

MELAKA, 18 Nov (Bernama) -- Sebanyak 15,741 pencarum daripada pelbagai sektor berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi tempoh Januari hingga September lepas di Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata antara sektor tertinggi yang mencarum ialah perkhidmatan sokongan sebanyak 6,016 orang, penjaja (2,194), pengangkutan penumpang (1,889) dan pengangkutan barangan serta makanan (1,563).

"Kita berharap jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa kerana dengan adanya caruman seumpama ini ia dapat memberi perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri jika berlaku sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jalinan Mesra PERKESO bersama Media Melaka yang turut dihadiri Pengarah PERKESO Melaka Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir serta Ketua Cawangan Komunikasi Strategik dan Penjenamaan Jenama dan Editorial PERKESO Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Ngwe berkata PERKESO Melaka juga akan memperluaskan usaha mendekati masyarakat Orang Asli di negeri itu bagi menggalakkan mereka membuat caruman SKSPS memandangkan kebanyakannya bekerja sendiri dan tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau berkata ini termasuk inisiatif dilakukan beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya menaja 100 Orang Asli dalam kawasan diwakilinya bagi memberi kesedaran untuk mencarum.

Terdahulu, pada majlis tersebut Ngwe turut menaja 21 pengamal media sambilan dan kontrak di negeri itu di bawah SKSPS bagi tempoh perlindungan selama setahun.

Ia termasuk pemberita sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Melaka iaitu Rashidah Abd Rahim dan Nursuraya Zulkifli.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan