WILAYAH - UTARA > BERITA

POLIS BURU EMPAT LELAKI SAMUN BERSENJATA API DI BUKIT SELAMBAU

19/11/2024 07:34 AM

SUNGAI PETANI, 19 Nov (Bernama) -- Polis sedang memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis membeli hasil sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau, pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 1.50 tengah hari yang memaklumkan tentang insiden samun menggunakan senjata api di lokasi kejadian.

“Sebuah kereta Honda City dilihat memasuki kawasan premis. Tiga suspek lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam turun dari kereta dan meluru ke arah beberapa pekerja di hadapan premis tersebut, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kenderaan.

“Semasa kejadian, suspek menggunakan pistol dan parang. Seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 04-4236999.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun bersenjata di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada hari sama.

Wan Azharuddin berkata suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, sekitar petang semalam.

“Turut dirampas, seutas rantai tangan yang dipercayai berkaitan dengan kes samun di Bandar Puteri Jaya,” katanya menambah siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes samun tersebut, selain turut mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod kesalahan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda, atau sebatan.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun diancam dengan pisau di rumahnya sebelum suspek melarikan rantai tangan dan cincin emas milik mangsa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan