WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SARAWAK PERUNTUK RM280.7 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN, PENAMBAHBAIKAN KEMUDAHAN SUKAN

19/11/2024 05:05 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM280.7 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Sarawak 2025 untuk pembangunan dan penambahbaikan kemudahan sukan di negeri ini, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata jumlah berkenaan meningkat ketara berbanding RM76.4 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan Sarawak 2024, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa.

Ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, beliau berkata Sarawak juga bercadang untuk menghidupkan semula Sukan Borneo tahun hadapan yang melibatkan negeri itu, Sabah, Labuan, Kalimantan dan Brunei.

 “Bagaimanapun, tarikh dan venue sukan itu akan ditentukan selepas mesyuarat penyelarasan bersama rakna-rakan wilayah terlibat. Sukan ini bermatlamat menonjolkan bakat sukan tempatan dan memberi peluang kepada atlet untuk mengukur prestasi semasa masing-masing,” katanya.

 Beliau berkata pangkalan data belia dan sukan kementeriannya juga akan dibangunkan tahun hadapan bagi membolehkan membuat keputusan berasaskan data, dipacu data serta memastikan peruntukan kemajuan dapat disalurkan secara berkesan di semua peringkat.

Abdul Karim berkata pangkalan data berkenaan juga akan membantu kementeriannya membangunkan strategi sasaran yang berkesan bagi pembangunan belia, sukan dan keusahawanan, dan merangka dasar yang memberi kesan positif kepada kehidupan belia Sarawak.

“Bagi memastikan pangkalan data adalah komprehensif dan tepat, kementerian akan bekerjasama dengan Insitut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dalam kajian Indeks Belia Sarawak 2.0,” katanya. 

Beliau berkata data berkenaan akan disepadukan dengan Sistem Pengurusan Permainan Bersepadu (IGMS) sedia ada daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak (SSC) untuk mewujudkan sistem yang memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan.

“Kita juga sedang meneliti untuk menyepadukan dengan Data Raya Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Bagi tahun depan, menurut Abdul Karim, kementeriannya juga akan menumpukan terhadap program “Futurizing the Youth” yang akan melengkapkan belia dengan kemahiran penting dalam menghadapi dunia yang pesat membangun.

“Inisiatif Futurize Youth @ AI akan melatih lebih 500 belia di Sarawak dengan kemahiran kecerdasan buatan, mempersiapkan mereka untuk kerjaya dalam teknologi dan menyokong pertumbuhan sektor teknologi tinggi Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan