WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEPUTUSAN GUNA SISTEM MLFF JANGKA DIMUKTAMAD 16 DIS INI

21/11/2024 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Keputusan mengenai penggunaan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau multi lane fast flow (MLFF) dijangka dimuktamadkan pada 16 Dis ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata cadangan pelaksanaan MLFF itu kini masih dalam pertimbangan teliti Kementerian Kerja Raya (KKR) selain perlu mendapatkan persetujuan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

“Masalahnya sekarang ialah ‘konsesi atas konsesi’… kerana satu konsesi baharu nak buat MLFF ke atas 33 konsesi lama yang memiliki lebuh raya di 33 kawasan dengan separuh daripadanya antara 2,500 hingga 1,500 kilometer (lebuh raya) dimiliki PLUS.

“PLUS tidak bersetuju dengan ‘konsesi atas konsesi’ ini kerana PLUS mempunyai keupayaan sendiri untuk melaksanakan MLFF. … dan kita akan sediakan Kertas Kabinet,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKR juga berkemungkinan tidak akan meneruskan pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau 'glow in the dark' di kawasan jalan raya tanpa lampu.

Beliau berkata KKR melaksanakan percubaan menggunakan kaedah itu di beberapa kawasan sebelum ini namun hasil percubaan tidak menepati kehendak pakar.

“… jadi kita kemungkinan tidak meneruskan garisan glow in the dark selain kosnya mahal… kita akan teruskan penggunaan garisan putih bagi kawasan tiada lampu jalan,” katanya.

Mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo, Ahmad berkata pembinaan lebuh raya itu tidak melibatkan penyediaan lampu jalan di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan sebaliknya lampu jalan hanya dipasang di persimpangan susur masuk dan keluar.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM10,349,480,800 yang diperuntukkan kepada KKR dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 24 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan