WILAYAH - UTARA > BERITA

NUR ARINA TERUJA BALIK KAMPUNG, MANDI SUNGAI - SEPUPU

19/11/2024 05:38 PM

Oleh Razif Rosli

GERIK, 19 Nov (Bernama) -- Nur Arina Azizan, 20, wanita yang dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras ketika mandi di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai, di sini Ahad lepas, teruja pulang ke kampung dan teringin mandi-manda menggunakan pelampung untuk menelusuri sungai.

Sepupunya, Norhaslinda Mohamad Yusuf, 36, berkata Nur Arina jarang berpeluang pulang ke kampung kerana kesibukan bekerja, namun kali ini wanita itu bersungguh-sungguh mahu pulang.

“Saya tidak sampai hati hendak mengatakan tidak kepada Nur Arina agar tidak mandi sungai memandangkan dia jarang balik ke kampung.

"Dia bekerja di Pulau Pinang, hujung minggu pun akan bekerja sambilan di sebuah butik pakaian tetapi kali ini dia tidak kerja sebab mahu habiskan masa bersama keluarga di kampung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Norhaslinda berkata ketika berkelah di sungai itu, dia dan Nur Arina tidak sempat bersembang lama kerana wanita itu seronok mandi-manda menggunakan pelampung.

Ibu Nur Arina yang terselamat dalam kejadian itu, katanya telah dibenarkan keluar dari Hospital Taiping dan kini berada di Pos Kawalan Bomba (PKB) di lokasi kejadian bersama suami, Azizan Md Din, 60. 

"Ibu saudara saya (Saripah Ahmad, 48) amat sedih, namun reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap agar anaknya (Nur Arina) dapat ditemukan segera. Pada masa ini dia tidak dibenarkan berjumpa sesiapa, malah saya sendiri pun belum sempat berjumpanya. 

"Kami berdoa agar Nur Arina ditemukan segera,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Arina yang memasuki hari ketiga hari ini diperluas hingga ke Sungai Rui.

Beliau berkata pencarian dilakukan menggunakan enam bot JBPM, dua bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, sebuah bot polis dan lima bot nelayan. 

"Kita masih menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) selain akan memperhalusi pencarian dengan kaedah lain," katanya. 

Sabarodzi berkata keadaan Sungai Rui yang berarus dan keruh antara cabaran dihadapi pasukan penyelamat selain banyak rumpun buluh dan banir sawit yang berkemungkinan mangsa tersangkut di situ.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan