WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GURU SEKOLAH AGAMA PULAU PINANG TERIMA ELAUN TAMBAHAN RM500 TAHUN DEPAN

19/11/2024 06:05 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Sebanyak 160 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di Pulau Pinang akan menerima elaun tambahan RM500 setiap bulan bermula Januari tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata MAINPP telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM1.92 juta untuk tujuan itu.

"Mereka sebelum ini menerima RM600 hingga RM1,600 sebulan bergantung pada kelayakan akademik masing-masing. Semoga dengan berita baik ini menyuntik semangat para guru untuk memartabatkan Islam di Pulau Pinang melalui pendidikan anak-anak kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata setakat ini, tiada individu daripada GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) menyertai program pemulihan secara sukarela di negeri ini.

Beliau berkata ahli GISBH seolah-olah "hilang" daripada pandangan umum dengan mereka berkemungkinan mengubah penampilan bagi mengelak dikenali.

"Kita tawarkan kepada mereka program pemulihan berkaitan agama di Kompleks Darul Hidayah (di Nibong Tebal), kita juga sediakan fasilitator untuk mereka, ada penginapan sekali, jadi kita nasihatkan mereka untuk tampil secara sukarela sertai program pemulihan ini.

"Cuma sekarang ini nak kesan ahli-ahli GISBH pun susah, malah premis-premis perniagaan mereka kosong selepas operasi daripada pihak berkuasa baru-baru ini," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 16 Okt  lepas memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah GISBH adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan