WILAYAH - SARAWAK > BERITA

26.8 PERATUS KANAK-KANAK GISBH DISELAMATKAN DI SELANGOR ADA MASALAH BANTUT

19/11/2024 03:47 PM

SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Hasil saringan kesihatan terhadap 266 kanak-kanak yang diselamatkan daripada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Selangor mendapati 26.8 peratus mempunyai masalah bantut, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata saringan dan pemeriksaan intensif dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan kerjasama pakar kesihatan swasta bermula 4 hingga 8 Nov lepas turut mendapati 6.8 peratus daripada mereka mempunyai masalah bantut yang serius. 

Katanya hasil saringan kesihatan mental pula menunjukkan seramai 78 kanak-kanak terbabit mengalami masalah kemurungan dengan kebanyakannya berada pada tahap ringan manakala bagi saringan kebimbangan (anxiety) mendapati seramai 89 kanak-kanak mempunyai masalah tersebut. 

"Selepas dua bulan di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 38.6 peratus mempunyai pertambahan berat badan selain 22 peratus kanak-kanak berusia enam tahun didapati mempunyai masalah pertuturan. 

"Selepas keputusan saringan disemak oleh pakar pediatrik atau pakar perubatan keluarga, anak-anak yang perlu mendapat intervensi dan perawatan selanjutnya bagi kategori sederhana akan dirujuk kepada kaunselor atau psikologi klinikal dan yang teruk akan dirujuk kepada pakar psikiatri," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Task Force Pemulihan Anak-Anak GISBH Negeri Selangor di Wisma Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. 

Berhubung masalah akidah, Amirudin berkata soal selidik yang dijalankan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap 176 orang anak-anak dalam lingkungan empat hingga 17 tahun mendapati majoriti daripada mereka tidak mempunyai masalah akidah yang kritikal. 

"Hasil soal selidik juga mendapati hanya10 peratus mempunyai masalah dalam i’tikad yang kritikal manakala 15 peratus mempunyai masalah amalan Islam yang kritikal," katanya. 

Dari segi akademik, Amirudin berkata hasil pentaksiran terhadap anak-anak tersebut mendapati mereka mempunyai penguasaan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik namun mempunyai masalah penguasaan Bahasa Inggeris dari peringkat prasekolah hingga ke menengah atas. 

Bagaimanapun, katanya terdapat lapan orang antara mereka yang didapati belum mampu menguasai aspek pembelajaran akademik kerana dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas. 

Mengenai penyerahan sumbangan itu, Amirudin berkata ia bagi menyokong pelan pemulihan yang dirancang pasukan petugas berkenaan terhadap anak-anak yang diselamatkan dengan sasaran tempoh selama setahun bagi mencapai pemulihan sepenuhnya. 

Sumbangan diserahkan menerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang bertanggungjawab untuk menyelaras wang sumbangan yang diterima untuk pemulihan anak-anak GISBH.

Pasukan dipengerusikan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari itu turut dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Turut terlibat Lembaga Zakat Selangor (LZS), MAIS, JAIS, pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) serta Yayasan Selgate.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan