WILAYAH - TIMUR > BERITA

POLIS TAHAN LIMA LELAKI DISYAKI EDAR DADAH, RAMPAS DUA PISTOL

20/11/2024 05:34 PM

TEMERLOH, 20 Nov (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Thailand di sebuah rumah di Bandar Pusat Jengka, Maran, Khamis lepas, selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemuanya yang berusia antara 24 hingga 35 tahun ditahan kira-kira 4 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan satu pistol angin dan 97 bebola besi selain satu pistol separa automatik dengan kelopak mengandungi dua peluru hidup bersama komponen pistol yang dileraikan. 

Turut dirampas, pelbagai dadah terdiri daripada heroin, syabu dan pil yaba dianggar seberat 13.47 gram disyaki untuk diedar serta wang tunai berjumlah RM1,330. 

"Empat lelaki tempatan berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah manakala kumpulan berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal Ogos lepas.

"Mereka menyasarkan penagih di sekitar kawasan Bandar Pusat Jengka dan dengan penahanan kesemua suspek, polis percaya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di kawasan bandar Jengka dan Felda," katanya pada sidang media di Balai Polis Kuala Krau di sini hari ini. 

Beliau berkata kesemua lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Sementara itu, Yahaya berkata pihaknya merancang untuk mewujudkan galeri atau muzium di Balai Polis Kuala Krau di sini bagi memperingati peristiwa serangan subuh berdarah di balai berkenaan yang berlaku pada 1948 dan 1949. 

Galeri berkenaan, katanya bakal menempatkan catatan peristiwa yang bukan sahaja melibatkan balai itu, tetapi juga memaparkan sejarah di kawasan sekitar untuk generasi akan datang. 

"Memandangkan balai polis sedia ada ini akan berpindah ke lokasi berdekatan dan dijangka beroperasi pada tahun depan, kami mencadangkan supaya balai polis lama ini dijadikan galeri," katanya.

Peristiwa pertama serangan subuh pada 26 Jun 1948 telah mengorbankan Mahani Konel yang sedang sarat mengandung, iaitu isteri mata-mata Mohd Yusoff Mohamad, manakala anggota polis dikenali sebagai Hamzah turut terkorban ketika serangan kedua pada 11 Sept 1949 oleh komunis. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan