WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN TELITI MEKANISME KESAN KETIRISAN RANTAIAN MINYAK MASAK

20/11/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti mekanisme bagi mengesan ketirisan rantaian bekalan minyak masak bersubsidi dari peringkat pembungkusan, pemborongan, peruncit hingga pengguna.

Timbalan Menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata KPDN melihat mekanisme seperti batch number atau nombor siri sebagai kaedah pengesanan bagi menyekat aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi.  

“Apabila barang itu tiris, pergi ke sempadan...kita perlu mengesan syarikat pembungkus, namun pada masa ini kita tidak tahu di peringkat mana berlaku ketirisan, sama ada di pihak pembungkus, pemborong, atau peruncit.

“Oleh itu, mekanisme ini mungkin dapat membantu kita mengenal pasti di pihak mana ketirisan berlaku, kerana pada ketika ini, pihak-pihak ini saling menyalahkan antara satu sama lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi KPDN di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Fuziah berkata kontrak Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan disambung selama setahun bagi 2025 membabitkan peruntukan sebanyak RM41 juta.

“Bagi jangka masa panjang, kami sedang menjalankan kajian mengenai kemungkinan untuk menyerap mereka ke dalam kontrak perkhidmatan. Kajian ini sedang dilaksanakan, dan dapatan kajian akan diserahkan kepada pihak pengurusan di kementerian sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ini, seramai 990 Pegawai Pemantau Harga (PPH) sedang menjalankan pemeriksaan harga bagi 480 jenis barangan di pasar basah dan pasar raya, dan data tersebut direkodkan dalam sistem Price Catcher yang membantu KPDN untuk mengenal pasti harga barangan terkini.

“Jika ingin mengetahui harga purata ayam di Semenanjung, harga sayur, tomato, sawi, dan sebagainya, ia dapat diperoleh melalui kerja PPH ini...kita memantau harga setiap hari. Itulah peranan PPH,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM2,076,903,700 yang diperuntukkan kepada KPDN dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 18 Ahli Parlimen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan