WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BUNUH PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL: MANGSA DITEMUKAN TIDAK SEDARKAN DIRI - WARDEN

26/11/2024 10:04 PM

TAWAU, 26 Nov (Bernama) -- Seorang warden asrama Kolej Vokasional Lahad Datu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau melihat pelajar kolej itu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, tidak sedarkan diri dalam bilik di asramanya.

Muhammad Nuhrullah Aminuddin, 30, yang merupakan saksi pendakwaan kedua berkata tertuduh kedua dalam kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, datang ke rumahnya di kolej itu pada pukul 6.35 pagi, 22 Mac lepas memaklumkan mangsa mengalami sawan.

“Saya kemudiannya bergegas dari rumah saya yang tidak jauh dari asrama pelajar lelaki ke tempat pelajar tersebut yang berada di Bilik Asrama 7 Belian.

“Sampai sahaja di bilik tersebut saya melihat si mati baring atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri. Saya telah membuat pemeriksaan pada hidung, nafas, nadi, dan dada tidak memberikan reaksi,” katanya dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.39 pagi, 22 Mac.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Nuhrullah, yang juga seorang guru kolej itu berkata beliau kemudiannya menghubungi Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu Ahmad Fakhrurazi Hamzah dan Ketua Warden Afif Aziz, untuk memaklumkan situasi mangsa yang ditemukan tidak sedarkan diri itu.

Beliau berkata Ahmad Fakhrurazi datang ke tempat kejadian dan mengarahkan beliau untuk menghubungi talian kecemasan 999, bagi memaklumkan dan mendapatkan bantuan.

“Semasa membuat panggilan saya diminta pegawai perubatan mengambil tindakan bantuan kecemasan dengan membuat bantuan tekan dada mangsa sehingga pihak ambulans sampai. Selepas bantuan kecemasan tiba ke kolej vokasional, pihak hospital yang mengambil alih untuk tindakan mereka,” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mengenai reaksi tertuduh kedua semasa memberitahu ada pelajar mengalami sawan,  Muhammad Nuhrullah berkata beliau melihat muka tertuduh seakan nervous.

Saksi itu juga memaklumkan beliau melihat luka pada bibir mangsa semasa membuat pemeriksaan pada pelajar itu.

Kepada soalan peguam Kamaruddin Mohmad Chinki, saksi itu memberitahu beliau bukan warden bertugas pada malam itu (21 Mac), tetapi ada seorang guru lain yang bertugas.

Sementara itu, Ahmad Fakhrurazi yang juga saksi pendakwaan pertama  ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ram Singh, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengesan sebarang degupan jantung atau nadi ketika memeriksa mangsa.

“Saya rasa suhu badan arwah masih panas, sebab itu buat saya motivasi bagi bantuan CPR berdasarkan pengetahuan sedia ada," katanya.

Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju dengan cadangan peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin kebarangkalian mangsa masih boleh diselamatkan sekiranya terus dihantar ke hospital ketika pertama kali ditemukan terbaring di atas tilam.

Ketika pemeriksaan semula oleh Nur Nisla, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan kerana disebabkan pada waktu itu mangsa sudah tiada nafas dan nadinya juga tidak dapat dikesan.

“Van kolej vokasional bersedia untuk menghantar mangsa ke hospital, tetapi Muhammad Nuhrullah (yang membuat panggilan kecemasan) mendapat arahan daripada pihak hospital agar mangsa tidak dihantar dan tunggu ambulans yang dalam perjalanan ke kolej,” katanya.

Selain Nur Nisla, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao serta Nur Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram, Kamarudin dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhassany P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan