WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HRD CORP: KESUMA SERAH PIHAK BERKUASA SIASAT, AMBIL TINDAKAN TEGAS KEPADA INDIVIDU BERSALAH

21/11/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas berkenaan ketidakteraturan pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kerajaan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah dalam perkara itu termasuk memecat atau mengambil tindakan undang-undang.

“Kita akan ambil tindakan tegas kepada mana-mana yang didapati bersalah tetapi sehingga laporan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa dikeluarkan, saya rasa tidak adil kita menuding jari kepada sesiapa, lebih-lebih lagi tak ada (sesiapa) didakwa sama ada oleh polis atau mahkamah.

“Kita berikan ruang pihak berkuasa buat siasatan secara bebas, tak kira mereka nak siasat ketua pegawai eksekutif, orang jaga duit, pegawai biasa waima menteri dan mantan menteri, biar mereka siasat dan bila ada keputusan saya yakin di bawah Kerajaan Perpaduan, kita akan ambil tindakan hukuman paling berat terhadap pesalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu hari ini.

Julai lepas, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024  mengesyorkan KESUMA mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk ia kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

Pada bulan sama, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mahu tahu mengapa Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood dibenarkan kembali bertugas selepas bercuti susulan pendedahan LKAN dan PAC, Sim berkata cuti diberikan itu hanya bagi membantu SPRM menjalankan siasatan tanpa gangguan.

“Cuti kepada Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp ini adalah untuk dilihat dengan nyatanya bahawa kita tidak akan kompromi maka beliau telah ambil cuti dan dalam tempoh itu, SPRM datang dan ambil kertas (dokumen) dan sebagainya dan selepas tempoh itu beliau telah kembali bertugas.

“Semua juga tahu everyone is assumed innocent until proven guilty, dan dalam keadaan ini tiada anggota atau individu dalam HRD Corp yang didakwa di mahkamah … nama disebut di dewan ini juga tidak disebut dalam apa-apa laporan, dan orang itu tak ada di sini untuk mempertahankan diri … jadi tidak semestinya si anu (orang itu) bersalah,” katanya.

Sementara itu, mengenai skim keselamatan sosial, Sim berkata KESUMA menyasarkan untuk mencapai seramai sejuta pencarum bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan 500,000 pencarum bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menjelang hujung tahun ini. 

Beliau berkata setakat ini pihaknya mencapai kira-kira 76 peratus iaitu seramai 760,000 pencarum dalam SKSPS dan 480,000 pencarum bagi SKSSR.

“Jadi saya harap berbaki hingga 31 Disember kita boleh memenuhi sasaran itu,” katanya yang turut meminta semua Ahli Parlimen membantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempromosi skim terbabit di kawasan masing-masing.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM1,825,469,500 yang diperuntukkan kepada KESUMA dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 15 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan