WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LHDN KOMITED TINGKAT PEMATUHAN CUKAI MENERUSI AUDIT DAN SIASATAN

22/11/2024 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan melalui audit dan siasatan bagi mengesan sebarang ketidakpatuhan dalam kalangan pembayar cukai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN Datuk Hisham Rusli berkata kesemua tindakan itu dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Beliau berkata pematuhan cukai semakin meningkat setiap tahun namun masih ada pihak yang mengambil kesempatan dengan tidak membayar cukai sepatutnya.

“Melalui audit, pihak HASiL (LHDN) dapat mengesan ketidakpatuhan yang mungkin berlaku termasuk kes pelarian cukai, pengisytiharan pendapatan yang kurang daripada sepatutnya atau menuntut potongan serta pelepasan yang tidak sah. 

“Tiada isu pendakwaan pilihan (selective prosecution) dalam tindakan HASiL. Apa yang benar, HASiL bertindak mengikut punca kuasa Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan akta-akta lain yang dikawal selia,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Penguatkuasaan Percukaian Demi Manfaat Bersama” terbitan Bernama TV malam ini. 

Beliau berkata LHDN telah banyak memacu transformasi dan inovasi dalam pentadbiran cukai di Malaysia dan menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. 

“Susulan Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt lalu, jelas menunjukkan bahawa sumber pendapatan negara sebanyak 41.8 peratus datangnya daripada hasil kutipan cukai pendapatan yang ditadbir urus oleh HASiL. 

“Jadi fungsi HASiL dilihat amat penting sebagai agensi kutipan cukai langsung negara yang membantu kerajaan dalam memastikan kelestarian pembangunan ekonomi serta mampu menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat di Malaysia,” katanya. 

Beliau turut menyeru pembayar cukai agar tampil melaksanakan tanggungjawab demi pembangunan dan kemakmuran negara.

“Tindakan audit oleh pihak HASiL bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Dengan persiapan yang rapi, pemahaman yang jelas dan sikap yang positif, proses audit boleh dikendalikan dengan tenang dan lancar. 

“Anggaplah ia sebagai satu peluang untuk kita memperbaiki pengurusan kewangan dan memastikan kita berada di landasan yang betul dalam mematuhi undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan