WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKDW PERKENAL KONSEP SMART VILLAGE, PERKASA KOMUNITI DESA DENGAN TEKNOLOGI MODEN

22/11/2024 10:28 AM

SERDANG, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan konsep ‘Smart Village’ sebagai usaha memperkasakan potensi dan keupayaan komuniti desa dalam aspek teknologi moden sekali gus memantapkan  pembangunan ekonomi di kawasan itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata projek rintis ‘Smart Village’ KKDW akan diadakan di tiga kampung yang memenangi Anugerah Desa MADANI (ADM) 2024. 

“Tiga kampung akan dipilih sebagai projek rintis Smart Village iaitu satu lagi inisiatif baharu yang akan diperkenalkan KKDW yang memfokuskan tentang penggunaan teknologi di kampung-kampung di luar bandar.

“(Ia untuk pembangunan) teknologi moden dalam pembangunan ekonomi dan juga pengurusan kampung khasnya pengurusan data misalnya setiap data kampung itu di hujung jari sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian ADM 2024 di sini.

Pada ADM 2024, sebanyak 42 kampung terpilih sebagai pemenang dengan Johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, Naib Johan menerima RM20,000 dan tempat ketiga menerima RM10,000.

Hadiah berkenaan untuk digunakan bagi pembangunan sosioekonomi kampung seperti aktiviti ekonomi, keusahawanan, keceriaan, naik taraf kemudahan infrastruktur sedia ada dan inovasi serta kreativiti komuniti desa.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran ADM ialah satu daripada inisiatif kerajaan bagi memperkukuh potensi dan keupayaan komuniti luar bandar dalam pelbagai aspek termasuk kepimpinan, pendidikan, kemahiran serta kesejahteraan ekonomi dan sosial. 

“Ini sebahagian daripada agenda yang lebih besar untuk memastikan pembangunan seimbang di seluruh negara dan mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Selain itu, Rubiah berkata penganjuran ADM bertepatan dengan usaha mempersiapkan kampung dan komuniti desa ke arah komitmen negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025. 

“Kampung yang kita pilih yang pemenang ini telah mempunyai produk yang berkualiti contohnya pelancongan tani dan secara tidak langsung, benda ini dapat kita promosikan.

“Ia juga boleh menjadi program dan aktiviti utama semasa program Kepengerusian ASEAN tahun depan,” katanya sambil menambah sebarang ketetapan program untuk delegasi asing tertakluk kepada jawatankuasa Kepengerusian ASEAN.

Sementara itu, Penghulu Kampung Empila Hilir di Kota Samarahan, Sarawak, Man Nasar berkata penganjuran ADM membuka ruang untuk penduduk kampung memperkenalkan aktiviti ekonomi menarik di kawasan mereka kepada orang ramai.

“Kejayaan ini hasil persiapan dan kerjasama padu jawatankuasa kampung yang bersungguh-sungguh lakukan persiapan,” katanya.

Turut senada Ahli Jawatankuasa Kampung Uma Daro, Sarawak, Peter Anak Sapit yang menyifatkan bimbingan KKDW dalam ADM membantu kampungnya menjuarai anugerah itu bagi kategori Zon 2 di Sarawak. 

Bagi Setiausaha Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu, Mohamad Che Embung berkata penyertaan kali pertama kampungnya dalam ADM membuahkan hasil apabila diiktiraf sebagai Johan bagi negeri Terengganu.

“Di Kampung Pulau Manis ini kami terkenal dengan tempat pelancongan dan aktiviti mencanting batik. Kami penduduk kampung juga tidak putus-putus terima pelancong,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan