WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEKLARASI KUALA LUMPUR KOMITMEN PENJAWAT AWAM SOKONG PENUH AGENDA REFORMASI - KSN

23/11/2024 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia menjadi komitmen penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam, kata Ketiausaha Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Beliau berkata deklarasi yang dilancarkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 hari ini akan dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri. 

"Ini adalah satu ikrar bahawa kita semua, di peringkat Persekutuan dan negeri bersatu hati untuk mengangkat martabat perkhidmatan awam yang berorientasikan kepentingan rakyat," katanya semasa berucap pada majlis perasmian 2TM dan konvensyen itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir pada majlis itu.

Shamsul Azri yang genap 100 hari menjawat jawatan KSN pada Selasa lepas berkata, pelaksanaan reformasi yang lebih menyeluruh dapat dilihat tahun depan menerusi pengenalan ILTIZAM Perkhidmatan Awam yang akan diangkat sebagai satu akta di peringkat Persekutuan. 

"Akta ini dirangka untuk memperkukuh struktur dan tatakelola yang telus, memastikan tindakan dan keputusan yang diambil adalah berasaskan kepentingan rakyat. Ia  juga merupakan langkah proaktif untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan menoktahkan salah laku dan rasuah," katanya.

Shamsul Azri berkata Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan diperkasakan bagi merealisasikan agenda reformasi perkhidmatan awam, dengan antara inisiatif utama yang sedang diusahakan mereka ialah Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan. 

Beliau berkata pekeliling tersebut dapat menyokong pelaksanaan perubahan secara sistematik bagi mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan dan menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah, cepat dan tepat.

Beliau turut optimis Malaysia berada pada landasan tepat dalam merealisasikan wawasan untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif seiring dengan matlamat ekonomi MADANI, menerusi langkah proaktif kerajaan masa ini. 

Shamsul Azri berkata masyarakat global semakin mengenali Malaysia dan mengagumi kepimpinan diplomasi serta peranan kritikal yang dimainkan Perdana Menteri di pentas dunia, selain negara telah diletakkan asas trajektori yang kukuh di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mengulas mengenai penganjuran program 2TM dan konvensyen yang bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' selama tiga hari bermula semalam, beliau berkata ia bertujuan memberi ruang kepada rakyat dan perniagaan mendapatkan perkhidmatan terus dan memahami usaha kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan