WILAYAH - SARAWAK > BERITA

2TM: RAKYAT SEMAKIN MEMAHAMI ASPIRASI KERAJAAN MADANI - KSN

24/11/2024 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 meraih sambutan memberangsangkan dengan sasaran kehadiran pengunjung melebihi sasaran.

Hal itu sekali gus membuktikan rakyat semakin memahami aspirasi Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata kehadiran pengunjung pada program tiga hari bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu melebihi sasaran 230,000.

“Saya difahamkan kehadiran direkodkan lebih 300,000 pengunjung setakat 4.25 petang ini.

“Ini adalah satu pencapaian yang baik di mana rakyat sudah mula mendekati dan memahami aspirasi kerajaan MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup program itu.

Antara yang mendapat sambutan luar biasa pada program bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' itu ialah tawaran penyelesaian saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diskaun hingga 60 peratus dan penukaran topi keledar lama kepada baharu secara percuma.

Orang ramai dilihat mula beratur seawal 7.30 pagi meskipun kaunter dibuka 9 pagi selain reruai kementerian dan agensi lain yang turut dipenuhi pengunjung.

Selain itu, Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas, barangan kebersihan diri dan bakul kombo buah dan sayur dengan potongan harga menarik juga tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan tempoh bekerja empat hari setengah yang dicadangkan oleh kerajaan Johor.

“Ini satu saranan dasar (policy call), oleh kerana itu kerajaan Johor punya, kita akan teliti dahulu sebab buat masa ini kerajaan Persekutuan belum berhasrat untuk memperkenalkan waktu bekerja empat hari setengah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan