WILAYAH - TENGAH > BERITA

2TM: PENGUNJUNG REBUT PELUANG DAPATKAN PAKEJ INTERNET MAMPU MILIK DI RERUAI TELCO RAHMAH

23/11/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Berbaki sehari lagi Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai Telco Rahmah yang menawarkan pelbagai pakej Internet menarik dan mampu milik.

Lima reruai Telco Rahmah yang disediakan syarikat telekomunikasi utama antaranya CelcomDigi, Maxis dan U Mobile mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pada hari kedua program itu.

Pengunjung, Firdaus Ismail, 28, berkata inisiatif Telco Rahmah memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah mendapatkan perkhidmatan Internet pada harga murah.

Beliau yang turut melanggan pakej di reruai berkenaan berkata proses mendapatkan perkhidmatan di reruai itu mudah dan cepat berbanding di luar.

“Saya langgan pakej di Maxis iaitu RM156 untuk dapatkan perkhidmatan Internet di rumah dan pascabayar telefon. Ia amat menguntungkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut berterima kasih atas inisiatif kerajaan mengadakan program 2TM yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya penukaran helmet dan pembayaran saman, selain Telco Rahmah.

“Saya terkejut apabila datang banyak perkhidmatan ditawarkan umpamanya Telco Rahmah ini. Pada mulanya memang tidak merancang untuk langgan pakej Internet tetapi pakej yang ditawarkan menarik, itu yang saya mohon,” katanya yang tinggal di Jalan Klang Lama di sini.

Sementara itu, Nur Wahida Abdul Salam, 28, berkata pelbagai pakej Internet yang murah ditawarkan di reruai Telco Rahmah membolehkan pengunjung membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Petugas di reruai juga amat ramah dan memberi penerangan dengan baik, saya ambil pakej asas iaitu RM35 sebulan,” katanya yang tinggal di Klang, Selangor.

Pelajar, Aisyah Kamaruddin, 19, pula berkata pakej Telco Rahmah membolehkan beliau memilih pakej Internet yang mampu milik bagi tujuan pembelajaran. 

“Saya masih lagi teliti apa pakej menarik, mungkin esok baru putuskan pakej telco yang saya akan ambil kerana banyak reruai yang belum saya singgah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pelbagai pakej Internet dan peranti menarik ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi utama pada program itu yang diadakan tiga hari bermula semalam.

Beliau berkata pihaknya telah meminta syarikat berkenaan membuka reruai di program tersebut, bertujuan memberi peluang kepada pengguna atau pengunjung memilih pakej yang menarik dan mampu milik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan