WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA, MALAYSIA TERAJU USAHA GLOBAL UNTUK HAK PALESTIN

24/11/2024 02:59 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Nov (Bernama) -- Indonesia dan Malaysia, dua negara utama Asia Tenggara, memainkan peranan penting dalam meraih sokongan global untuk Palestin, menurut Profesor Sudarnoto Abdul Hakim dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta.

Sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihormati, beliau berkata kedua-dua negara secara konsisten menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin melalui usaha diplomatik dan kemanusiaan.

Sudarnoto, yang juga Ketua Hubungan Luar dan Kerjasama Antarabangsa Majlis Ulama Indonesia (MUI) baru-baru ini melawat sebuah pusat perlindungan pelarian Palestin di Amman, Jordan.

Beliau berkongsi bahawa pelarian Palestin melahirkan rasa terima kasih yang mendalam terhadap Indonesia dan Malaysia atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.

“Penghargaan terhadap komitmen negara ini amat mendalam. Peranan mereka sangat penting dalam mengekalkan harapan dan memperjuangkan keadilan,” katanya.

Di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai penyokong lantang hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa. Anwar telah menyeru pengiktirafan rasmi Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada mesyuarat antarabangsa peringkat tinggi seperti Sidang Kemuncak G20 di Brazil dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Peru, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar telah menyokong pembaharuan PBB dan menekankan tindakan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

Anwar turut membangkitkan isu Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, menggesa tindakan antarabangsa yang lebih tegas terhadap tindakan ketenteraan Israel di Palestin.

Begitu juga, Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah menggunakan platformnya di Sidang Kemuncak G20 untuk menyeru gencatan senjata segera di Gaza, serta di Ukraine.

Dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Prabowo mengulangi komitmen Indonesia untuk menyokong usaha PBB menangani krisis Palestin dan menawarkan untuk menyumbang pasukan pengaman jika perlu.

Timbalan Menteri Luar Indonesia Anis Matta seterusnya menekankan sokongan padu negara itu terhadap Palestin pada Sidang Kemuncak OIC-Liga Arab di Arab Saudi.

“Indonesia dan Malaysia kedua-duanya menyokong tindakan global,” kata Sudarnoto, sambil menggariskan beberapa inisiatif utama untuk mengukuhkan pendirian kedua-dua negara dalam isu Palestin dan meminta Israel bertanggungjawab atas tindakannya.

“Kita mesti bersatu di peringkat global untuk mendesak PBB melaksanakan  segera keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dengan mempertanggungjawabkan Israel atas pencabulan hak asasi manusia dan jenayahnya," jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan kedua-dua negara bekerjasama untuk mendapatkan sokongan global untuk menyingkirkan Israel daripada PBB.

Dalam aspek kemanusiaan, Sudarnoto mencadangkan usaha bersama antara organisasi dermawan di kedua-dua negara.

“Bantuan kemanusiaan tidak perlu lagi dianjurkan secara berasingan. Dengan menyelaraskan usaha, kita boleh mencipta impak yang jauh lebih besar,” katanya.

Untuk memastikan matlamat ini direalisasikan, beliau percaya bahawa kedua-dua kerajaan mesti mengambil pendirian tegas terhadap gerakan pro-Zionis dalam masyarakat mereka serta menyelaras secara diplomatik bagi mengubah dasar Amerika Syarikat.

“Adalah penting untuk kita menyelaraskan usaha diplomatik bagi meyakinkan AS supaya menggunakan pendekatan yang lebih bertamadun, yang memupuk keamanan dan menghentikan sokongan terhadap Israel,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan