KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Hari ini peluang terakhir untuk orang ramai menikmati pelbagai tawaran dan jualan menarik sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Antara yang mendapat sambutan luar biasa sejak program bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' berlangsung pada Jumaat lepas ialah tawaran penyelesaian saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diskaun hingga 60 peratus selain penukaran topi keledar dan al-Quran oleh kementerian terlibat.
Tidak ketinggalan Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas, barangan kebersihan diri dan bakul kombo buah dan sayur dengan potongan harga menarik yang tidak putus-putus dikunjungi orang ramai sebaik reruai jualan dibuka pada 9 pagi hingga 6 petang.
Karnival Kerjaya yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan dan disertai 40 majikan menyediakan peluang untuk pencari kerja selain Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Selain itu, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang diadakan sempena program 2TM juga akan melabuhkan tirai hari ini, dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dijadual merasmikan majlis penutup pada petang ini.
Pada sebelah pagi, konvensyen diteruskan dengan penganjuran siri forum antaranya penambahbaikan kecekapan penyampaian perkhidmatan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk kecekapan urusan pentadbiran dan sinergi awam dan swasta.
Turut dijadual berlangsung ialah forum bertajuk 'Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi dan Ujikaji Peraturan' yang antara lain menjelaskan bagaimana Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Ujikaji dapat mempercepat pelaksanaan reformasi daripada aspek perundangan, strategi praktikal dan amalan baik peraturan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial