KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Jualan murah kelengkapan persekolahan yang ditawarkan di gerai jualan sempena Program Dua Tahun MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini terus menjadi tumpuan orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang itu.
Tawaran berkenaan juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak lebih awal.
Maisarah Arsyad, 34, dari Kajang, Selangor berkata tawaran harga murah bagi pakaian dan kasut sekolah anak yang boleh didapati di gerai jualan ini sememangnya membantunya menjimatkan perbelanjaan persekolahan empat anaknya.
“Sesi persekolahan tahun depan dekat bulan Ramadan dan Hari Raya, menyebabkan lebih banyak perbelanjaan diperlukan seisi keluarga.
“Pakaian sekolah anak memang setiap tahun saya akan pastikan mereka pakai pakaian baharu. Kalau empat anak agak tinggi juga perbelanjaan. Jadi pembelian di sini, sepasang baju sekolah anak yang biasa saya beli pada harga RM80 lebih, di sini saya boleh dapat RM50 lebih sepasang, untuk empat anak saya boleh jimat lebih RM100.
“Untuk ibu bapa macam saya, kita memang tunggu promosi seperti ini, saya harap kerajaan akan adakan program seperti ini yang boleh memberi manfaat terus kepada rakyat dengan lebih kerap lagi,” katanya.
Mohd Shauki Abdullah, 29, dari Puchong, Selangor, berkata dia teruja apabila melihat tawaran diskaun 35 peratus untuk pakaian sekolah dan tidak mahu ketinggalan menyediakan kelengkapan sekolah buat anaknya yang akan memasuki tahun satu pada 2025.
“Saya sebelum ini memang dah tinjau harga pakaian sekolah anak, kalau yang berkualiti sikit harga sepasang lebih RM80. Tapi di sini, kalau beli sepasnag tidak sampai RM50.
“Selain pakaian sekolah, saya beli juga kasut sekolah, harga sekitar RM31 sahaja… memang saya teruja lebih daripada anak kalau berjaya jimatkan perbelanjaan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran My-Sutera Sdn Bhd Muhammad Azhari Zid berkata sambutan daripada ibu bapa amat menggalakkan mungkin disebabkan promosi yang ditawarkan.
“Sambutan Alhamdulillah memang memberangsangkan. Harga yang kita tawarkan lebih murah daripada harga biasa dan lagi satu sebab program ini diadakan pada hujung tahun. Sudah menjadi rutin ibu bapa untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak.
“Kita bukan jual setakat baju, kain dan seluar sekolah daripada sekolah rendah dan menengah, kita juga jual kasut sekolah, stokin, alat tulis yang semua dijual pasa harga diskaun. Untuk pakaian kita bagi diskaun 35 peratus manakala barangan lain diskaun berbeza-beza,” katanya.
Gerai jualan pakaian sekolah jenama Canggih di ruang Jualan Usahawan MADANI di reruai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merupakan satu-satunya gerai jualan menawarkan kelengkapan persekolahan menjadi tumpuan selama tiga hari program 2TM berlangsung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial