WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JOHOR KENAL PASTI TINDAKAN UNTUK KURANGKAN KESAN PEMBINAAN LORONG TAMBAHAN LEBUHRAYA PLUS

24/11/2024 03:07 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa tindakan bagi mengurangkan kesan penutupan berperingkat lorong kecemasan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Fasa 1-Pakej A dari Sedenak ke Kulai bermula Julai 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata antara tindakan yang dikenal pasti bagi mengurangkan kesan penutupan lorong kecemasan sehingga projek siap sepenuhnya pada Jun 2027 adalah pelaksanaan pembinaan mengikut zon kerja secara berselang, dengan panjang setiap zon kerja antara tiga hingga empat kilometer (km).

Beliau berkata tindakan lain yang dikenal pasti adalah penyediaan kawasan hentian kecemasan sementara di lokasi yang bersesuaian bagi memindahkan kenderaan rosak atau kemalangan dalam tempoh yang singkat.

“Juga dicadangkan supaya ‘smart lane’ iaitu lorong kemasan di kawasan-kawasan tertentu dibenarkan untuk digunakan oleh pengguna dalam tempoh yang tertentu, dan membuka lorong tambahan baharu yang telah disiapkan secara berperingkat bagi kegunaan trafik ketika diperlukan, seperti pada waktu puncak dan semasa berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Bor Yang (DAP-Senai) mengenai langkah yang akan atau telah diambil untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh pelaksanaan kerja Projek Pelebaran Lebuhraya Plus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Plus terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.

Projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara yang merupakan inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya Plus Wilayah Selatan yang sering berlaku pada waktu puncak, terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan