ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor tidak mengeluarkan lesen penjualan vape atau rokok elektronik selaras undang-undang kerajaan tempatan berkaitan yang dikuatkuasakan bermula 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata larangan sejak lapan tahun lepas kekal dikuatkuasakan, termasuk penjualan perisa vape sama ada dalam bentuk gel atau cecair.
“Sehingga hari ini, Johor kekal dengan larangan berkenaan yang dikuatkuasakan sejak 2016,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Pada 1 Jan 2016, kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan ekoran titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang kegiatan itu.
Pada 19 Nov lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape melalui PBT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial