WILAYAH - TIMUR > BERITA

KERAJAAN TERUS BANTU, TIADA SEKATAN ROYALTI KEPADA TERENGGANU - FAHMI

24/11/2024 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan Kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu. 

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti apa yang dikenali sebagai Wang Ehsan sebelum ini.

“Tak benar dakwaan itu, kita cuma nak pastikan semua peruntukan itu sampai terus kepada mana-mana projek yang dimaksudkan kerana ia (dana) hak milik rakyat dan harus sampai kembali kepada rakyat dengan saluran tepat dan projek dimaksudkan terlaksana.

“Ia bagi memastikan kelancaran mana-mana pelaksanaan projek, dan keduanya untuk memastikan tidak berlaku apa-apa isu dari aspek pengurusan dana, tak naklah dana terima projek tak jalan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sumbangan Minyak Pelincir Enjin kepada 150 pemandu teksi dan e-hailing di Parlimen Lembah Pantai di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti kepada negeri itu.

Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lepas, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut case-by-case.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR turut menafikan laporan media bahawa lembaga disiplin parti berkenaan akan memuktamadkan tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hari ini, susulan beberapa kritikannya kepada kerajaan. 

“Saya tidak dimaklumkan, kebiasaanya bagi parti ini, proses lembaga disiplin itu perlu melalui mesyuarat, akan dibentang ke Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, tapi setahu saya kita tak dijadual untuk ada mesyuarat hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan