WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUTERA35 LIBATKAN GLC, GLIC DAN SEKTOR SWASTA, BANTU PEMBANGUNAN EKONOMI BUMIPUTERA

25/11/2024 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) memperkenalkan pelbagai penambahbaikan berbanding agenda pembangunan terdahulu, termasuk penglibatan lebih menyeluruh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata antara penambahbaikan lain terhadap pelaksanaan dan pemantauan yang diperkenalkan di bawah PuTERA35 ialah pewujudan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera atau UPAB di setiap kementerian bagi melaksana dan memantau ikhtiar PuTERA35 secara rapi.

“Kedua, pembangunan Dashboard PuTERA35 bagi memudah cara dan pemantauan pelaksanaan dan penilaian keberhasilan sehingga 2035 yang lebih sistematik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai langkah kerajaan memastikan keberkesanan hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera di bawah PuTERA35 sebagai kesinambungan daripada Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

Beliau berkata PuTERA35 turut memberi tumpuan khusus kepada masyarakat bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli serta memastikan manfaat turut dinikmati oleh kumpulan minoriti bukan bumiputera yang memerlukan.

Ia menetapkan matlamat yang lebih menyeluruh dengan memartabatkan masyarakat bumiputera dalam pelbagai aspek sosioekonomi dan tidak memberi tumpuan kepada pemilikan ekuiti semata-mata.

Menjawab soalan tambahan daripada Muhyiddin mengenai strategi untuk mencapai sasaran 15 peratus sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada ekonomi negara, Hanifah Hajar berkata PuTERA35 memberi keutamaan kepada sektor berpotensi tinggi untuk membuka peluang kepada bumiputera dalam industri bernilai tinggi yang disokong kerajaan.

“Tumpuan utama adalah pada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), termasuk teknologi digital, elektronik dan elektrik (E&E), pertanian moden, industri asas tani dan industri halal.

“Selain itu, sektor seperti kewangan Islam, logistik, pelancongan, perkhidmatan penjagaan serta model teroka dan ekuiti persendirian turut diberi perhatian khusus,” katanya.

Katanya PuTERA35 turut memperkenalkan perancangan dalam tiga jangka masa dengan mengambil kira tahap kerumitan setiap industri untuk memastikan pelaksanaannya berkesan dan memberikan manfaat maksimum kepada masyarakat bumiputera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan