KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited dalam memastikan inflasi kesihatan kekal menyederhana termasuk di Sarawak, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.
Katanya inflasi kesihatan di Sarawak hanya merekodkan kadar sederhana iaitu 1.5 peratus pada Oktober 2024.
“Sebanyak 58 projek Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi negeri Sarawak telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.04 bilion,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) berhubung perancangan kerajaan menangani kadar inflasi negara termasuk inflasi kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dengan menumpukan kawasan-kawasan di luar bandar Sarawak.
Projek tersebut, antaranya pembinaan Klinik Kesihatan Betong, Klinik Kesihatan Julau, Sarikei; Klinik Kesihatan Nanga Atoi, Saratok; serta projek naik taraf dan pembangunan klinik baharu di seluruh Sarawak.
Katanya pelaksanaan projek-projek tersebut akan mengurangkan kesan kos sara hidup, terutamanya di kawasan luar bandar melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan yang lebih mampu milik dan berkualiti serta mengurangkan kos pengangkutan kepada penduduk luar bandar yang memerlukan akses kepada kemudahan kesihatan.
Bagi mengurangkan kesan inflasi kepada kos sara hidup serta meningkatkan pendapatan masyarakat pula, Hanifah Hajar berkata kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya dengan meningkatkan jumlah keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Sara Hidup daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM13 bilion bagi 2025.
Di samping itu, kerajaan juga turut meningkatkan peruntukan inisiatif Payung Rahmah daripada RM200 juta bagi 2024 kepada RM300 juta pada 2025, serta meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan paras harga yang berpatutan dan mengelakkan aktiviti pencatutan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai subsidi RON95, Hanifah Hajar berkata kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.
“Dari segi libat urus, memang kita harus melaksanakan dan mendapatkan maklum balas supaya kita mengetahui bagaimana cara yang terbaik untuk mengagihkannya dengan baik dan selamat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial