WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN SHARAFUDDIN MAHU SEMUA PENCERAMAH MEMPUNYAI TAULIAH MAIS

25/11/2024 03:25 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Islam Selangor (JAIS) diminta memastikan  semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutamanya berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawuf serta pengamalan tarekat, mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah langkah ini penting bagi mengelakkan individu yang kurang memahami ilmu tersebut atau belajar daripada guru yang tidak berkelayakan menyebarkan fahaman yang tidak tepat kepada masyarakat.

“Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman yang betul melalui usaha oleh agensi agama atau institusi-institusi yang terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar.

“Beta juga ingin mencadangkan agar diwujudkan  panduan, silibus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawuf dan tarekat di negeri Selangor. Beta yakin dengan kefahaman dan amalan yang benar, ia sudah pasti akan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah ummah di negara ini,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj “Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah” yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Titah Sultan Sharafuddin usaha itu seiring dengan hasrat baginda untuk memastikan Selangor dan negara terus berkembang maju dan makmur dengan rakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan harmoni, bertolak ansur serta bersatu padu.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama mewujudkan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawuf serta tarekat di Selangor.

Baginda juga mahu tindakan penguatkuasaan terus ditingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di negara ini, khususnya Selangor.

Pada masa yang sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa amat dukacita apabila ada umat Islam yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan hukum syarak mempersoal dan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Titah baginda, proses pembuatan sesuatu fatwa dilakukan dengan begitu teliti dengan mengambil pandangan daripada banyak pihak terutama daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan pakar-pakar hukum syarak sebelum ia diangkat bagi mendapat perkenan, seterusnya diwartakan.  

“Oleh itu, beta menyeru agar segelintir umat Islam yang sering mempersoalkan tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu tentang sesuatu fatwa yang dikeluarkan dan merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat apa-apa kekeliruan atau persoalan yang berbangkit,” titah baginda.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan melancarkan Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (JUFFAS), Sistem Taudhih Al-Ahkam, serta Sistem e-Falak Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor.

JUFFAS berfungsi sebagai wadah penerbitan ilmiah yang memuatkan kajian serta tulisan bagi memberikan perspektif baharu dalam merumuskan penyelesaian masalah ummah. Sistem Taudhih Al-Ahkam pula merupakan platform untuk masyarakat bertanya dan mendapatkan penjelasan tentang hukum syarak secara terus daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Aplikasi e-Falak pula memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat berkenaan arah kiblat yang tepat mengikut lokasi, waktu solat sebenar dan takwin hijrah yang betul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan