WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENERBANGAN CHENNAI-PULAU PINANG BUKA PELUANG BAHARU INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI

25/11/2024 04:30 PM

GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Pelancaran penerbangan terus antara Chennai dan Pulau Pinang dijangka membuka peluang baharu industri pelancongan Pulau Pinang, meningkatkan daya tahan sektor itu terhadap risiko dan persaingan dalam pasaran pelancongan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata berdasarkan laporan Times of India, penduduk Chennai mencapai 12.053 juta pada Oktober 2024, sekali gus menjadikannya bandar kelima paling padat di India, manakala Tamil Nadu dengan populasi sekitar 78 juta adalah antara negeri paling padat di India.

Beliau berkata jumlah penduduk yang ramai itu mencerminkan potensi besar dalam usaha meningkatkan kehadiran pelancong ke Pulau Pinang dan tarikan dalam landskap pelancongan antarabangsa.

“Pengenalan laluan ini akan meningkatkan kemudahan perjalanan antara Chennai dan Pulau Pinang secara signifikan, membolehkan Pulau Pinang meneroka pasaran pelancongan India yang sedang berkembang pesat,” katanya pada sidang media pengumuman penerbangan itu di sini hari ini.

Wong turut memaklumkan bahawa walaupun ketibaan pelancong dari India kini tidak berada dalam 10 teratas, kerajaan negeri yakin dengan adanya penerbangan terus ini, pelancong dari India akan memasuki kelompok 10 negara teratas menjelang tahun depan.

Beliau berkata tiket penerbangan terus harian antara Chennai dan Pulau Pinang kini secara rasmi mula dijual menerusi IndiGo Airlines, dengan penerbangan sulung dijadualkan pada 21 Dis.

Penerbangan 6E1045 dari Chennai ke Pulau Pinang akan berlepas pada 2.15 pagi waktu Chennai dan tiba di Pulau Pinang pukul 8. 30 pagi waktu tempatan, manakala penerbangan 6E1046 dari Pulau Pinang ke Chennai akan berlepas pada 9.30 pagi waktu tempatan, tiba di Chennai pada 10:35 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan