WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERMINTAAN SEMAKIN MENINGKAT UNTUK INSURANS KESIHATAN PERIBADI DI ASEAN - MALAYSIAN RE

25/11/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk insurans kesihatan peribadi di ASEAN terutamanya selepas pandemik COVID-19, kata Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat insurans itu berkata lonjakan ini disebabkan oleh peningkatan pendapatan boleh guna, peningkatan tahap celik huruf, penembusan internet yang lebih tinggi, akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik dan kesedaran yang lebih tinggi mengenai insurans.

Malaysian Re berkata edisi kelapan penerbitan utama laporan tahunannya, “ASEAN Insurance Pulse”, menyerlahkan aliran ini iaitu menggalakkan pilihan gaya hidup yang lebih sihat dan minat baharu dalam perlindungan insurans kesihatan.

Menerusi penerbitan pada tahun ini ia membincangkan topik penting mengenai pembiayaan penjagaan kesihatan di rantau ASEAN.

"Ia mengkaji pelbagai struktur penjagaan kesihatan, mekanisme pembiayaan dan peranan penting penanggung insurans dalam memajukan akses penjagaan kesihatan yang adil.

"Laporan ini juga meneroka strategi untuk penanggung insurans memupuk kesihatan komuniti dan pertumbuhan pasaran.

"Laporan itu juga menyoroti cabaran besar dalam pembiayaan penjagaan kesihatan di seluruh rantau ASEAN, menekankan ketidakseimbangan yang ketara dalam sistem penjagaan kesihatan yang dipacu oleh faktor sosial, politik dan ekonomi," katanya.

Walaupun dilihat kecekapannya, syarikat itu berkata insurans kesihatan peribadi berdepan halangan yang berterusan termasuk akses yang tidak sekata kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, populasi yang semakin tua dan peningkatan penyakit kronik serta penyakit berkaitan gaya hidup.

"Laporan berkenaan juga memerhati kenaikan premium insurans kesihatan terutamanya bagi kumpulan usia yang lebih tua, mengancam kemampuan dan usaha untuk meluaskan perlindungan terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah.

"Bagi menangani isu ini, penanggung insurans sedang mengamalkan pendekatan inovatif seperti melaksanakan langkah pengurangan risiko dan kawalan kos, mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dan menjalankan penambahbaikan sistemik untuk meningkatkan aksesibiliti serta memperbaiki dinamik pasaran," kata Malaysian Re.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata laporan ini menekankan komitmen mereka untuk memajukan pasaran insurans ASEAN selain menjadikan insurans sebahagian yang lebih kukuh dalam kehidupan masyarakat.

"Kami percaya pandangan pada tahun ini akan menjadi rujukan penting untuk memupuk pertumbuhan dalam pasaran insurans ASEAN sambil meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti yang dilayani," katanya bersempena Kongres Insurans ASEAN ke-14 yang diadakan di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.

Edisi 2024 yang dikhaskan untuk pembiayaan penjagaan kesihatan itu telah dilancarkan oleh Timbalan Pengurus Brunei Darussalam Central Bank, Rashidah Sabtu.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Majlis Insurans ASEAN, Huy Vatahro dan Setiausaha Agung Majlis Insurans ASEAN, Christian Wanandi.

Salinan laporan tersebut boleh dimuat turun di www.malaysian-re.com.my. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan