WILAYAH - UTARA > BERITA

40 KES KEROSAKAN BANGUNAN, KENDERAAN AKIBAT POKOK TUMBANG DI PULAU PINANG

26/11/2024 02:43 PM

GEORGE TOWN, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 40 kes kerosakan bangunan dan kenderaan yang disebabkan oleh pokok tumbang dilaporkan tahun ini serta sembilan kes kecederaan akibat dihempap pokok direkodkan di Pulau Pinang dari Januari 2023 hingga November 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata daripada 40 kes, 27 kes dilaporkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melibatkan 22 kenderaan dan lima bangunan manakala 13 kes melibatkan 10 kenderaan dan tiga bangunan bagi pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Jumlah kes kecederaan akibat dihempap pokok dari Januari 2023 hingga November 2024 di bawah pentadbiran MBPP ialah sembilan kes manakala tiada kes mengenainya dilaporkan di bawah pentadbiran MBSP.

“Kerajaan negeri memandang serius berkaitan isu pokok tumbang, tambahan pula selepas berlakunya kematian pelancong warganegara China baru-baru ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Joshua Woo Sze Zeng (PH-Pulau Tikus) mengenai jumlah kes kerosakan bangunan dan kenderaan yang disebabkan oleh pokok tumbang, kes kecederaan akibat dihempap pokok dan tindakan kerajaan negeri bagi mengurangkan insiden kemalangan yang berkait dengan pokok.

H'ng memaklumkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah menyediakan pelan tindakan bagi mengurangkan insiden kemalangan pokok berulang dan pelan tindakan yang disediakan bagi kedua-dua PBT berbeza antara satu sama lain disebabkan oleh faktor kawasan lokaliti yang berbeza.

Katanya, penilaian tahap ketiga terhadap pokok-pokok berusia dan matang mengikut praktis arborikultur dan menyediakan peruntukan RM1.1 juta bagi melaksanakan kerja inventori pokok dengan menggunakan teknologi Smart Tree Inventory System (LIDAR) serta menganalisis maklumat inventori pokok melalui 4D Digital Twin adalah antara pelan tindakan yang dilaksana dan dirancang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan