KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bukunya berjudul “Becoming Hannah: A Personal Journey,” telah dicetak 18 kali dan tidak pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Hannah berkata ini kerana buku itu ialah sebuah autobiografi mengenai kehidupannya termasuk pengalaman peribadi yang jelas menyorot penglibatannya dalam politik.
“Pada helaian muka surat “Becoming Hannah” ia secara jelas dan teliti menyatakan ia satu pengalaman peribadi atau perjalanan peribadi. Buku ini telah diulang cetak banyak kali selama ini dan tidak pernah diharamkan oleh KDN.
“Hantaran defendan (Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff jelas dikeluarkan dengan niat untuk untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnah saya dengan menggambarkan saya sebagai seorang ahli politik yang cuba menyebarkan agama Kristian menerusi kerjaya saya dalam politik,” katanya.
Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam kenyataan saksinya ketika pendengaran kes saman fitnahnya terhadap Kamarul Zaman berhubung dua catatan Facebook yang dibuat pensyarah itu pada Mei 2017, di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman.
Hannah berkata sikap Kamarul Zaman jelas menunjukkan Kamarul Zaman tidak boleh menerima bahawa Hannah mempunyai hak untuk mengamalkan agamanya secara bebas di negara ini.
“Sehubungan itu, bahasa dan pilihan perkataan digunakan defendan (Kamarul Zaman) termasuk istilah seperti munafik, berdakwah, menggunakan kedudukan politik, memanggil sesama ahli Kristian, pendakwah, memujuk, mempengaruhi hasutan, misi, dan kesalahan, adalah sengaja menimbulkan skandal, kontroversi, berunsur jenayah dan tidak munasabah serta menghasut.
“Defendan telah berulang kali menyalah guna kedudukannya untuk membuat tuduhan salah dan tidak berasas kepada para pemimpin politk DAP termasuk saya walaupun dalam kapasiti sebagai penganalisis politik yang didakwanya sendiri,” katanya.
Menurut Hannah, tiada bukti bahawa mana-mana Muslim telah menyimpang daripada agama dengan membaca “Becoming Hannah” malah sebaliknya buku itu telah diperakui oleh pemimpin Muslim di negara ini.
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.
“Sebagai seorang pensyarah dan seorang Muslim, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian dan sebagai seorang penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia,
Perbicaraan bersambung pada 14 Jan, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial