WILAYAH - SELATAN > BERITA

PERDANA MENTERI SAMPAI SUMBANGAN KHAS KEPADA MANGSA BANJIR DI MELAKA

26/11/2024 03:29 PM

MELAKA, 26 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM82,400 kepada 313 mangsa banjir di negeri ini.

Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin  pada satu majlis di Tanjung Minyak di sini.

Shamsul Iskandar ketika ditemui pemberita berkata sumbangan diberikan kepada penduduk terkesan di sekitar Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A dan Kampung Pantai Kundur yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) minggu lepas.

"Kerajaan Perpaduan daripada peringkat Persekutuan dan kerajaan Melaka akan sedaya upaya membantu mereka yang terjejas akibat bencana ini.

"Perdana Menteri dan kerajaan sangat prihatin terhadap mereka yang diuji musibah ini dan sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka," katanya.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Shamsul Iskandar berkata satu pendekatan komprehensif daripada kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama-sama kerajaan negeri perlu dilakukan dalam mengatasi masalah banjir melalui peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri pada Belanjawan 2025.

Beliau berkata ia merangkumi kerja-kerja menyelenggara dan menyelesaikan masalah perparitan serta longkang.

"Di samping itu kita sedia maklum pada masa ini musim tengkujuh… banyak tempat dilanda banjir.

"Justeru, saya ingin menyampaikan pesan kepada rakyat sekiranya terjejas banjir, patuhi arahan agensi keselamatan kerana ada yang tidak mahu berpindah dan tentunya akan menyukarkan lagi kerja pihak keselamatan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan