WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERUNTUKAN RM16.81 JUTA TAMBAH BAIK FASILITI MONOREL - LOKE

26/11/2024 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM16.81 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kesemua 11 stesen Monorel di ibu negara secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata peruntukan kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu melibatkan RM6.81 juta bagi melengkapkan semua stesen dengan fungsi Pintu Platform Automatik (PAGS) selain RM10 juta untuk membaik pulih kemudahan lif dan eskalator.

Beliau berkata ia sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna di platform sekali gus menarik lebih ramai pengguna.

“Sebelum ini pada 2016 PAGS sudah dipasang, cuma projek itu tergendala kerana masalah teknikal dan isu signal sehingga pintu tidak boleh ditutup secara automatik. Ini memberi masalah kepada pengguna di platform termasuk isu keselamatan dengan 10 kes terjatuh ke trek Monorel direkodkan sejak 2017.

“Jadi kita teruskan naik taraf projek ini pada awal tahun, hasilnya PAGS sudah berfungsi di Stesen KL Sentral dan Tun Sambanthan, empat lagi iaitu Stesen Mahajaralela, Imbi, Hang Tuah dan Bukit Bintang siap minggu ini manakala selebihnya sebelum akhir tahun,” katanya.

Loke berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi dan fungsi PAGS di Stesen Monorel KL Sentral di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi pembaikan serta penyelenggaraan lif dan eskalator di semua 11 Stesen Monorel pula dijangka siap sepenuhnya menjelang April tahun hadapan.

“Kita terima banyak aduan, terutama daripada golongan OKU (Orang Kurang Upaya) mengenai kesusahan untuk akses ke platform dan kawasan monorel kerana banyak fasiliti berkenaan rosak, jadi kita akan percepat usaha ini termasuk menggantikan terus mana-mana lif yang rosak,” katanya.

Selain itu, dalam usaha menambah kekerapan perkhidmatan Monorel daripada tujuh minit ketika ini kepada sekurang-kurangnya lima minit, Loke berkata kontrak sudah dianugerahkan untuk menambah tiga lagi set gerabak Monorel.

“Ketika ini purata pengguna Monorel ialah 60,000 sehari dan kita melihat ada keperluan untuk menambah gerabak selari peningkatan pengguna pengangkutan awam, jadi anggaran kita dalam 24 bulan atau pada 2026 akan terima gerabak itu,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan