WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UNITAR DAN JABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN LANCAR BIASISWA PENDIDIKAN PUJI

26/11/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kumpulan Pendidikan UNITAR (UNITAR) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) hari ini melancarkan Biasiswa Pendidikan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) Bersama UNITAR bernilai RM10 juta dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar melalui pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata program itu menjadi bukti komitmen sektor awam dan swasta dalam menerapkan nilai-nilai inklusif dalam pendidikan yang menjadi teras kepada aspirasi Kerajaan MADANI.

“PUJI secara asasnya adalah usaha kita mengeluarkan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan daripada belenggu kemiskinan tegar melalui pelbagai kaedah yang kita kenal pasti menggunakan pendekatan ‘keseluruhan negara’.

“Saya percaya pendidikan adalah antara instrumen terpenting untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan membina kehidupan lebih bermakna, yang bukan sahaja melengkapkan seseorang dengan pengetahuan, tetapi asas untuk mereka berdaya saing di dunia global,” katanya dalam perasmian biasiswa itu di Kampus Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) JWP Datuk Parang Abai.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola dan Pro-Canselor KLMUC Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR Datuk Puvan Balanchandran, Naib Canselor KLMUC Prof Dr Abdul Rahman Omar dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Selain itu, Dr Zaliha berkata peruntukan RM82.2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan yang sentiasa mengutamakan sektor pendidikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UNITAR atas kerjasama strategik yang dilihat bertepatan dengan aspirasi kerajaan, sekali gus menyeru lebih banyak institusi pendidikan dan sektor korporat mencontohi langkah sama.

Sementara itu, Dr Sahol Hamid berkata program biasiswa berkenaan bukan sahaja membantu pelajar daripada aspek kewangan, tetapi membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan pendidikan berkualiti di Kampus KLMUC.

Beliau berkata biasiswa melibatkan peruntukan RM10 juta ini akan diagihkan kepada setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan melalui wakil rakyat masing-masing bagi memastikan pelajar daripada komuniti B40 menerima peluang saksama untuk melanjutkan pelajaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan