WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FBI SIASAT ANCAMAN BOM TERHADAP CALON KABINET TRUMP

28/11/2024 06:59 PM

WASHINGTON, 28 Nov (Bernama-dpa) -- Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Rabu memaklumkan ia sedang menyiasat ancaman yang dibuat terhadap individu yang dicalonkan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk jawatan dalam pentadbiran baharunya.

"FBI menyedari banyak ancaman bom dan insiden ‘swatting’ yang menyasarkan calon dan pelantikan pentadbiran baharu dan kami sedang bekerjasama dengan rakan penguatkuasaan undang-undang kami," menurut FBI dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Kami memandang serius semua potensi ancaman dan seperti biasa, menggalakkan orang ramai untuk segera melaporkan apa-apa yang mereka anggap mencurigakan kepada penguatkuasaan undang-undang," tambahnya.

“Swatting” merujuk kepada helah atau laporan palsu yang bertujuan mencetuskan operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa.

Setiausaha akhbar Rumah Putih yang bakal dilantik Trump, Karoline Leavitt berkata insiden itu berlaku pada Selasa malam dan pagi Rabu. Penguat kuasa undang-undang telah bertindak pantas untuk memastikan keselamatan mereka yang berkenaan, katanya.

"Dengan Presiden Trump sebagai teladan kami, tindakan intimidasi dan keganasan yang berbahaya ini tidak akan melemahkan semangat kami," kata Leavitt.

Ahli Kongres Republikan Elise Stefanik, yang dinamakan sebagai bakal duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata ancaman bom telah dibuat menyasarkan rumahnya di New York.

Dia dimaklumkan tentang ancaman itu semasa memandu bersama suami dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dari Washington ke Saratoga County. Polis telah bertindak segera dengan profesionalisme tertinggi, katanya.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan