KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM156 juta untuk projek pembangunan di seluruh Kelantan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata peruntukan berkenaan disalurkan bagi tujuan pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam, sempena siri jelajah Sentuhan Kasih 2.0 ke Kelantan hari ini.
"Peruntukan itu antaranya digunakan untuk projek pembangunan landskap perbandaran Kota Bharu iaitu bernilai RM48 juta, projek Rumah Mesra Rakyat sebanyak RM35.9 juta untuk 448 unit rumah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad yang telah siap dibina pada tahun ini.
"Selain itu sejumlah RM30.1 juta untuk projek-projek di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan termasuklah pembinaan pasar baru di Jalan Binjai (RM4 juta), Pasar Siti Hajar dan Pasir Puteh (RM3.34 juta) serta projek-projek pembangunan lain seperti baik pulih tandas awam, naik taraf gerai dan pembaikan jalan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi dan meninjau Projek Menaik taraf Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.
Nga berkata peruntukan itu akan diagihkan dengan segera dan beliau yakin projek yang diperuntukkan itu membawa perkhabaran gembira buat rakyat negeri ini.
Beliau berkata KPKT akan terus memfokuskan kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif bagi merealisasikan perancangan pembangunan yang mampan demi meningkatkan aspek daya huni dan kesejahteraan rakyat.
"Kementerian saya tidak meminggirkan mana-mana golongan dan peruntukan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa. Kita berharap menerusi program Sentuhan Kasih ini lebih banyak pihak dapat dibantu tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang agama mahupun kaum," katanya.
Sementara itu merujuk kepada penugasan keanggotaan bomba di negeri-negeri terjejas oleh Monsun Timur Laut (MTL), Nga berkata cuti semua anggota bomba di seluruh negara dibekukan, dan 15,000 keanggotaan bomba telah diarah meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi MTL.
Hari ini Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut, Pahang hingga Jumaat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial